Welcome to My Page

IMAN DAN AMAL SOLEH

Sabtu, 02 April 2011

Laporan Jemaah Student Malaysia di Jepun Ke Pakistan

Assalamualaikum wbt..

Segala puji bagi Allah pemelihara sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasul s.a.w, para sahabat r.anhum, para tabiin rah. serta seluruh muslimin muslimat dan mukminin mukminat. Alhamdulillah…berkat doa tuan-tuan dan dengan izin Allah swt serta rahmatnya ke atas hambanya yang jahil lagi lemah ini, Allah swt telah pilih kami berlima untuk keluar khuruj di jalan Allah di Pakistan. Saya dan Safri bertolak pada 20 Julai sementara Bukhari, Zuhairi dan Haniff pada 5hb Ogos. Dan tiga orang lagi keluar selama 4 bulan- Sazali, Salehuddin dan Fakhrul.

Setibanya kami di Lahore Airport, empat orang istiqbal (penyambut tetamu) telah pun menunggu kami. MasyaAllah, mesranya mereka seperti sudah lama berkenalan. Kami di bawa ke masjid yang berdekatan dengan airport dan pada keesokan hari kami dibawa ke markaz ( juga sebuah masjid) di Raiwind. Kami mendapat laporan bahawa, pada setiap hari di Raiwind, lebih kurang 7000 orang berada di masjid, 100-150 jemaah dibentuk untuk khuruj di jalan Allah pada setiap hari, Ditambah pula dengan jemaah yang tidak putus-putus datang dan pergi. Kami berasa seolah-olah berada di zaman sahabat r.anhum di mana amalan di dalam masjid, suasana dakwah, ta’lim wa ta’lum (belajar dan mengajar), zikir, ibadat dan khidmat hidup selama 24 jam. Setiap hari selepas subuh kami mendengar bayan (ceramah) yang disampaikan oleh Bhai Wahab dan kadang kala Maulana Jamsyik. Isi kandungan bayan tersebut cukup merangsangkan kami untuk menjadikan dakwah sebagai maksud hidup kami. Di Raiwind, eldest (orang lama dalam usaha dakwah) sangat menekankan maksud hidup kami iaitu sebagai khalifah Allah, pewaris kerja kenabian dan pewaris Quran.

Pada setiap malam pula ketika bacaan kitab hayatussahabah (kisah-kisah sahabat r.anhum), Maulana Ihsan sangat menekankan solat tahajud di malam hari. “Orang yang jadikan dakwah sebagai maksud hidupnya, dia tidak tidur malam tetapi bertahajud.” Seorang Maulana berpesan, kalau kita nak pergi berjumpa dengan sifulan pada keesokan hari, pada malam sebelum itu kita kena sebut nama sifulan tersebut di dalam doa semasa tahajud. Bhai Wahab memberitahu bahawa semasa Maulana Yusuf mahu membuat jaulah (ziarah orang ramai atas maksud agama), beliau akan beriktikaf di masjid pada malamnya. Kita kena jumpa orang itu dengan penuh sangkaan baik, tidak lihat keburukan orang dan kita kena rasa orang yang nak dijumpai itu sangat berpotensi dalam usaha agama.

Tuan -tuan,

“Perkara IMAN adalah asas dalam kehidupan, bila iman dan yakin kita betul, tidak ada apa-apa yang boleh terkesan dengan hati kita. Tentera, harta, kerajaan dan semuanya yang lain tidak akan membawa kesan kepda hati kita bilamana hati kita hanya ada Allah. Kita kena takut hanya pada Allah dan ajak orang untuk takut pada Allah. Allah suci dari segala keaiban, Allah cipta setiap perkara dengan kudratNya. Dialah zat yang mempunyai ilmu yang sempurna. Lagi dan lagi kita kena dakwah kebesaran Allah sehingga ia masuk dan berkubu dalam hati kita. Biar hati kita hanya ada Allah, hati kita hanya akan berkata Allah, bila sakit datang kita akan ingat Allah, bila lapar datang kita akan ingat Allah, bila susah datang kita akan ingat Allah. Kita kena doa supaya Allah swt hidupkan suasana yang ada pada zaman sahabat dahulu pada zaman sekarang…”

Banyak lagi penerangan eldest yang sempat saya tulis. Hari keempat di markaz Raiwind, kami telah di ajak oleh dua orang ustaz iaitu Ustaz Lokman dan Ustaz Abu Mustafa untuk khuruj bersama mereka. Kami akan khuruj sebagai jemaah Nusrah (jemaah yang membantu jemaah lain yang sedang khuruj). Kami akan nusrah (bantu) jemaah pedal (jemaah yang bergerak dengan berjalan kaki dari satu masjid ke satu masjid dalam satu kawasan) yang keluar selama setahun. Sebenarnya satu jemaah ulama seramai lapan orang telah dibentuk dari Malaysia untuk khuruj selama setahun di India, Pakistan dan Bangladesh. Mereka ialah Ustaz Azmi, Ustaz Hafiz, Ustaz Ismail, Ustaz Abdul Fatah, Ustaz Lokman, dan Ustaz Abu Mustafa.

Copyright © Juni 2010, Allah Kuasa Makhluk Tak Kuasa

Tidak ada komentar:

Posting Komentar